Menerima partner baru dan pasangan suami isteri yang berminat meneroka pasaran Indonesia




En Rosdi, partner baru kami dari Putrajaya datang melawat. Dah tiga kali, sejak 3 minggu lalu beliau datang menjenguk perkembangan cendawannya yang diletakkan bersebelahan kedai kami. Akar miselium sudah mula memenuhi beg medianya yang berjumlah 5 ribu beg itu. En Rosdi dijangka menerima hasil pertama dari benih Thailand yang sangat menakjubkan itu sekitar bulan depan. Bermakna tempoh menunggu En Rosdi yang konvensionalnya 2 bulan, untuk menikmati hasilnya dapat disingkatkan selama sebulan.

Sementara itu pasangan suami isteri, En Muhd Arif dan Puan Zurina dari Puchong mendedahkan minat sebenar mereka menghadiri kursus hari ini. Mereka rupanya berhasrat untuk membuka ladang penanaman cendawan di Bandung, Indonesia. Katanya, di Indonesia, pasaran cendawan sangat eksklusif dan ianya hanya menjadi hidangan golongan bangsawan dan kelas mewah sahaja. Dengan membuka ladang di Indonesia, mereka ingin memberi peluang golongan bawahan untuk menikmati cendawan goreng yang rangup, sup cendawan yang kenyal dan gulai lemak cili api yang pedas berapi. Waduhhh pakkkk...!

Sijil kursus ini jangan lupa dibawa ke Indon ye pak...!

Mesej dari Cendawan Umi



Latar belakang saya sebagai wartawan dengan akhbar harian selama lebih 10 tahun sebelum ini banyak memberi peluang kepada saya berkenalan dengan pelbagai bentuk soalan yang dikemukakan oleh usahawan yang baru memulakan perniagaan, dalam mana-mana seminar yang saya cover. Secara keseluruhannya, kebanyakan usahawan agak dangkal mengenai konsep publisiti dan tidak tahu arah mana hendak dituju, apatah lagi bila bercakap mengenai publisiti di akhbar atau media elektronik.

Contohnya begini. Di Bukit Beruntung ini sahaja terdapat lebih 7 orang pengusaha cendawan secara sederhana. Malangnya, kedangkalan mengenai bagaimana hendak menembusi akhbar ini menyebabkan ramai masyarakat luar tidak mengetahui fakta jumlah usahawan cendawan di sini, sekaligus menyebabkan hasil yang dikeluarkan berlegar dalam lingkungan skala kecil sahaja.

Saya melihat ini sebagai pembaziran. Ia bukan sahaja membazir tenaga, pemikiran, duit tetapi yang lebih utama ialah pembaziran industri ini sendiri.

Saya ingin menyarankan agar pengusaha memberanikan diri menghubungi pihak akhbar dan buat publisiti secara bijaksana. Memanglah ia memerlukan wang yang bukan sedikit jumlahnya tetapi percayalah, hasilnya menakjubkan.

Bukankah salah satu faktor kejayaan itu adalah publisiti?

Fikir-fikirkanlah demi masa depan cendawan kita ini.


Safri Ali.