Resipi baru



Masa kami balik kampung hariraya Aidil Adha baru-baru ni, kami singgah di sebuah restoran di penghujung lebuhraya timur barat, iaitu Batu Melintang. Hujan masih lebat masa tu. Dalam kepala ingat nak pekena sup ekor atau mi bandung jer. Bila kami tengok menu, ada pulak resipi baru yang sangat mengejutkan kami - goreng berlada belut bersama cendawan! Apa tunggu lagi, semua anak beranak kami order benda yang sama, 4 pinggan.

Rasanya? Memang terangkat. Semua terangkat, ibu jari, mata, telinga, selera. Saya tak sempat melihat anggota2 lain yang juga terangkat. Tapi percayalah, ia memang terangkat. Peghhhh..

Dek kesedapan sehingga menjilat jari itu, dua orang anak saya yang kebetulannya sedang bercuti semester (seorang di Shah Alam dan seorang lagi di Sabah) sempat pulak ajak singgah di kedai yang sama masa kami balik ke Kuala Lumpur dua hari kemudian. Empat pinggan lagi menjadi hidangan kami.

Heran jugak, anak saya yang geli geleman melihat belut di TV itu bukan main berselera menguyah belut yang besar, gemuk dan berisi itu. Memang sedap. Apatah lagi digoreng bersama belut yang penuh isi.

Lihatlah bagaimana besarnya sengih Along dapat makan belut.

Menerima partner baru dan pasangan suami isteri yang berminat meneroka pasaran Indonesia




En Rosdi, partner baru kami dari Putrajaya datang melawat. Dah tiga kali, sejak 3 minggu lalu beliau datang menjenguk perkembangan cendawannya yang diletakkan bersebelahan kedai kami. Akar miselium sudah mula memenuhi beg medianya yang berjumlah 5 ribu beg itu. En Rosdi dijangka menerima hasil pertama dari benih Thailand yang sangat menakjubkan itu sekitar bulan depan. Bermakna tempoh menunggu En Rosdi yang konvensionalnya 2 bulan, untuk menikmati hasilnya dapat disingkatkan selama sebulan.

Sementara itu pasangan suami isteri, En Muhd Arif dan Puan Zurina dari Puchong mendedahkan minat sebenar mereka menghadiri kursus hari ini. Mereka rupanya berhasrat untuk membuka ladang penanaman cendawan di Bandung, Indonesia. Katanya, di Indonesia, pasaran cendawan sangat eksklusif dan ianya hanya menjadi hidangan golongan bangsawan dan kelas mewah sahaja. Dengan membuka ladang di Indonesia, mereka ingin memberi peluang golongan bawahan untuk menikmati cendawan goreng yang rangup, sup cendawan yang kenyal dan gulai lemak cili api yang pedas berapi. Waduhhh pakkkk...!

Sijil kursus ini jangan lupa dibawa ke Indon ye pak...!

Mesej dari Cendawan Umi



Latar belakang saya sebagai wartawan dengan akhbar harian selama lebih 10 tahun sebelum ini banyak memberi peluang kepada saya berkenalan dengan pelbagai bentuk soalan yang dikemukakan oleh usahawan yang baru memulakan perniagaan, dalam mana-mana seminar yang saya cover. Secara keseluruhannya, kebanyakan usahawan agak dangkal mengenai konsep publisiti dan tidak tahu arah mana hendak dituju, apatah lagi bila bercakap mengenai publisiti di akhbar atau media elektronik.

Contohnya begini. Di Bukit Beruntung ini sahaja terdapat lebih 7 orang pengusaha cendawan secara sederhana. Malangnya, kedangkalan mengenai bagaimana hendak menembusi akhbar ini menyebabkan ramai masyarakat luar tidak mengetahui fakta jumlah usahawan cendawan di sini, sekaligus menyebabkan hasil yang dikeluarkan berlegar dalam lingkungan skala kecil sahaja.

Saya melihat ini sebagai pembaziran. Ia bukan sahaja membazir tenaga, pemikiran, duit tetapi yang lebih utama ialah pembaziran industri ini sendiri.

Saya ingin menyarankan agar pengusaha memberanikan diri menghubungi pihak akhbar dan buat publisiti secara bijaksana. Memanglah ia memerlukan wang yang bukan sedikit jumlahnya tetapi percayalah, hasilnya menakjubkan.

Bukankah salah satu faktor kejayaan itu adalah publisiti?

Fikir-fikirkanlah demi masa depan cendawan kita ini.


Safri Ali.

Cendawan kawal kanser?

BUKAN satu rahsia. Cendawan merupakan sebahagian daripada diet atau pemakanan yang bukan sahaja enak dan pelbagai tetapi juga berkhasiat dan penting dalam kehidupan seharian.

Bayangkan sahaja sup cendawan keju dengan kruton atau dicampur bijirin yang lazat dan berkrim. Sungguh menyelerakan!

Kesan legendanya sebagai penawar herba kini turut meraih perhatian saintis Barat untuk melakukan penyelidikan demi penyelidikan.

Cendawan telah diamalkan di dalam perubatan herba tradisional di China dan Jepun sejak beribu tahun lampau.

Di Asia, cendawan biasa digunakan untuk melegakan kesakitan dan merawat penyakit-penyakit seperti artritis.

Tidak hairanlah jika spesies kulat yang sering diklasifikasikan dalam kumpulan yang sama dengan buah-buahan dan sayur-sayuran ini bakal muncul kelas seterusnya yang tersendiri dalam perubatan alami.

Pengamal perubatan tradisi Cina, Martin Powell dalam kunjungannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini berkongsi maklumat bagaimana ‘sentuhan ajaib’ cendawan yang dakwanya, boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan rawatan kanser.

Menurutnya, cendawan mempunyai manfaat unik bagi mereka yang menjalani rawatan konvensional kanser kerana selamat digunakan bersama-sama dengan perubatan moden.

‘‘Terdapat banyak perubatan herba yang tidak diterima oleh doktor kerana berkemungkinan interaksi dengan ubat, tetapi penggunaan cendawan ini dianggap selamat dan telah digunakan oleh doktor sebagai rawatan tambahan di Barat.

‘‘Coriolus versicolor merupakan cendawan yang paling banyak dikaji untuk menyokong kegunaannya ke atas kanser dan telah digunakan untuk terapi kanser di China dan Jepun. Pada lewat 1980-an jualan Coriolus di Jepun dianggarkan berjumlah AS$600 juta (RM2.884 bilion),” ujar Powell.

Anak kelahiran United Kingdom (UK) ini turut menyampaikan ceramah bertajuk Khasiat Cendawan dalam Pengawalan Kanser kepada para pengamal perubatan tradisi Cina, anjuran Bio-Life, sebuah syarikat tempatan yang berkecimpung dalam penjagaan kesihatan secara semula jadi.

Powell merupakan seorang ahli biokimia yang juga berkemahiran dalam perubatan Cina setelah melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut di Sekolah Akupuntur dan Perubatan Tradisional Cina London serta di Klinik Perubatan Tradisional Cina, Shanghai, China.

Kini, beliau merupakan pensyarah Perubatan Herba Cina dan Terapi Nutrisi di Universiti Westminister, London selain memberi syarahan tentang khasiat cendawan untuk Mycology Research Laboratories (MRL) di Portugal, Ireland dan England.

Powell telah menjadi tenaga pengajar sejak tahun 1997 dan mengajar mengenai perubatan Cina di Ireland dan Sweden.

Pemakanan berkhasiat cendawan adalah salah satu bidang pengkhususannya.

Mengulas lanjut, Powell berkata, dua ekstrak daripada Coriolus versicolor telah diuji secara mendalam di China dan Jepun dan didapati mampu meningkatkan jangka hayat penghidap kanser payudara, paru-paru, perut, usus dan nasofarinks.

‘‘Kini, cendawan ini digunakan secara meluas untuk menyokong sistem imuniti badan dalam pengawalan kanser.

‘‘Rawatan radioterapi dan kemoterapi akan melemahkan sistem imuniti badan dan pengambilan cendawan membantu keberkesanan rawatan, mengurangkan kesan sampingan serta menyokong sistem imun.

Berulang

‘‘Pengambilan berterusan selepas rawatan membantu mengelak kanser daripada berulang. Selain itu, ia turut digunakan dalam beberapa masalah jangkitan virus yang kronik,” katanya.

Dalam perubatan Barat, apabila mereka menilai sesuatu penyakit, mereka tidak melihat seseorang itu secara keseluruhan walaupun ia penting terutamanya bagi penyakit tahap akut.

Powell tertarik dengan bagaimana masyarakat Cina membuat penilaian mengenai kesihatan dan penyakit.

‘‘Ia ada kaitan dengan ‘yin dan yang’, tujuh emosi. Contohnya jantung adalah keceriaan, limpa adalah kerisauan, ginjal adalah ketakutan, hati adalah kemarahan dan paru-paru adalah kesedihan.

‘‘Manakala konsep keharmonian dan keseimbangan juga dianggap sebagai sesuatu yang diperlukan dalam kehidupan,” jelas beliau.

Tambahnya, cendawan yang paling banyak digunakan adalah Coriolus, Cordyceps sinensis dan Reishi (Lingzhi).

Powell sendiri banyak menggunakan lingzhi untuk rawatan rinitis kerana ia bersifat antihistamin, antiradang dan bahan pemodulasi imun.

Ia membantu mereka yang kurang tenaga dan lelaki yang mempunyai fungsi seksual yang lemah. Beliau memberitahu:

‘‘Saya akan mengambil Coriolus apabila mendapat selesema, semasa mengembara dan apabila berada dalam stres. Pengambilan Coriolus dan vitamin C membantu mengelakkan jangkitan.

‘‘Dalam masalah kanser seperti payudara, perut, usus, prostat, hati dan juga leukemia, pengambilannya berupaya membantu menyokong sistem imun.

‘‘Di UK, ada doktor haiwan yang memberi Coriolus kepada anjing dan kucing yang menghidap kanser tahap akhir dan ia membantu meningkatkan selera makan dan kualiti kehidupan haiwan berkenaan.”

Produk cendawan yang dimaksudkan oleh Powell adalah daripada MRL di California, yang memfokuskan kepada perkembangan klinikal untuk menyokong sistem imun.

MRL mempunyai perpustakaan yang ekstensif mengenai jenis-jenis cendawan untuk memastikan spesies cendawan yang betul dan bioaktif digunakan.

Contohnya, spesies yang betul mengikut Chinese Pharmocopoeia adalah Cordyceps sinensis, tetapi dianggarkan 75 peratus produk di pasaran menggunakan Cordyceps militarium.

Kajian menunjukkan cendawan Shiitake, Maitake, Reishi, Cordyceps sinensis dan Coriolus versicolor bersifat antitumor.

Maitake, Coriolus dan Reishi juga bersifat antiradang manakala Coriolus dan Reishi bermanfaat untuk melindungi hati.

‘‘Coriolus, Maitake dan Reishi mempunyai bahan hipoglisemik (mengurangkan kandungan gula darah) manakala Cordyceps mempunyai aktiviti steroid.

‘‘Cendawan ini mengandungi polisakarida berantai panjang, beta glukan dan proteoglikan dan enzim-enzim untuk mengelakkan tekanan oksidatif, menghalang perkembangan sel tak terkawal dan merangsang detoksifikasi,” terang Powell.

UTUSAN MALAYSIA - Jumaat 8 Ogos 2008

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=AgroBiz&pg=ag_01.htm

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR


Saleha Mohamed (kanan) bersama pembantunya memungut hasil cendawan di ladangnya di Rawang, Selangor.





PEPATAH yang berbunyi ‘seperti cendawan tumbuh selepas hujan’, seakan-akan menjelaskan apa yang berlaku pada masa ini iaitu ramai individu mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu selepas kerajaan khususnya Jabatan Pertanian berusaha mempromosi tanaman tersebut.
Senario tersebut didorong oleh faktor permintaan yang kian meningkat serta mempunyai potensi pasaran tempatan dan antarabangsa yang begitu memberangsangkan terhadap cendawan spesies berkenaan.

Justeru, semakin ramai individu tempatan bertekad untuk menceburi serta mengusahakan tanaman tersebut dengan tujuan mencari pendapatan tambahan serta keuntungan yang boleh dikatakan agak lumayan.

Melihat kepada fenomena tersebut, seorang pegawai kerajaan, Saleha Mohamed, 47, tidak ketinggalan dalam mengambil inisiatif untuk bergiat serta mengusahakan perusahaan tersebut.

Dia yang berasal dari Kelantan, menjelaskan bahawa penglibatannya dalam penanaman cendawan itu disebabkan minat berniaga dan juga keperluan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Semuanya bermula apabila beliau mengambil keputusan untuk berkongsi perniagaan tersebut bersama-sama anak saudaranya, Norazila Mohd Yusof, 28 yang kini masih menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM).
Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar dan modal sebanyak RM20,000, dia bersama-sama Norliza telah memulakan pengusahaan tersebut sejak tiga bulan lalu.

‘‘Dengan modal sebanyak itu, kami mampu menyewa dua buah lot kosong rumah kedai, membeli peralatan serta menghasilkan cendawan dan kini setelah tiga bulan berlalu, cendawan tiram kelabu kami telah mengeluarkan hasil yang memuaskan,’’ katanya ketika ditemui di rumah kedai yang dijadikan gudang cendawannya di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, dua buah lot rumah kedai itu yang mempunyai keluasan 20 kaki x 80 kaki tiap satu mampu menempatkan sebanyak 20,000 beg yang ditempatkan di atas rak yang disusun rapi.

Menerusi syarikat Setia Gading Enterprise yang dikendalikannya, Saleha bersama-sama dua orang pekerjanya mampu menghasilkan 40 kilogram (kg) sehingga 50 kg cendawan setiap hari.
Jelasnya lagi, secara purata, hasil tersebut merupakan cendawan yang dihasilkan daripada 1,000 beg yang sudah sampai tempoh matang.

Dalam pada itu, Saleha turut menerangkan bagaimana proses tanaman cendawan tiram kelabu dilakukan.

Menurutnya, proses tanaman cendawan tiram kelabu, memerlukan penggunaan habuk kayu serta beberapa campuran lain termasuk kapur digunakan bagi dijadikan bahan asas.
Seterusnya , kesemua bahan itu perlu digaul dan dicampur dengan air sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas.

‘‘Selepas itu, beg plastik tersebut akan disuntik dengan benih cendawan dan diperam selama dua bulan. ‘‘Dalam masa itu, beg plastik tersebut akan bertukar menjadi warna putih dari masa ke semasa dan itu bermakna akar cendawan tersebut sedang tumbuh dalam beg tersebut,’’ ujarnya.

Selepas tempoh dua bulan, tutup beg plastik tersebut akan dibuka dan kemudian benih yang asal itu akan dibuang tetapi beg tersebut ditutup kembali dalam tempoh 10 hari.

Tambahnya, selepas 10 hari benih tersebut dibersihkan, tutup beg tersebut akan ditanggalkan dan setiap beg akan mula mengeluarkan hasil selepas empat ke lima hari benihnya dibuang.

Hasil yang dihasilkan itu kemudiannya sudah boleh dipetik dan dibungkus untuk dipasarkan.
Buat masa ini, Saleha membekalkan cendawan-cendawannya kepada para peruncit dan pembekal cendawan kecil-kecilan di sekitar Rawang.

Selain itu, ditanya mengenai cabaran serta masalah yang dihadapi sepanjang mengusahakan penanaman cendawan itu, beliau menjelaskan bahawa cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya Pleurotus sajor-caju merupakan spesies yang sangat sensitif.

‘‘Bagi mendapatkan hasil yang baik, soal kebersihan perlu diutamakan. Ini kerana persekitaran yang kotor akan mempengaruhi udara, sekali gus akan mendatangkan penyakit kepada cendawan.

‘‘Bagaimanapun, penyakit ‘hijau’ merupakan masalah yang sering dihadapi oleh para pengusaha cendawan masa kini, selain serangan serangga seperti ulat dan lain-lain lagi,’’ katanya.

Tambah Saleha, bagi menangani perkara ini, persekitaran hendaklah dijaga dengan rapi. Semburan racun serangga perosak dilakukan dengan berhati-hati agar beg cendawan tidak terdedah kepada semburan ini.

Saleha turut mengakui bahawa risiko kerosakan cendawan juga agak tinggi. Antara 10 hingga 20 peratus beg cendawan akan mengalami kerosakan.

Pada masa yang sama, Saleha turut memberitahu bahawa benih yang baik juga menjadi salah satu faktor yang mampu mempengaruhi produktiviti.

Buat masa ini, bagi menampung keperluan mendapatkan bekalan benih cendawan yang baik dan bermutu tinggi, Saleha telah mengadakan perbincangan antar pengusaha tiram kelabu di selatan Thailand.

Menurutnya, beberapa orang pengusaha di negara itu sedang berusaha mendapatkan kelulusan pihak tertentu di negara ini untuk membawa masuk benih yang baik bagi diedarkan di negara ini.

Lebih menarik, benih yang digunakan di Thailand itu mampu menghasilkan cendawan hanya dalam tempoh 28 hari berbanding pada kebiasaannya, ia memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan setengah bagi mendapatkan hasil.

Saleha berharap agar sesiapa yang berhasrat untuk mendapatkan cendawan miliknya atau memasarkannya agar menghubungi di talian 019-2199180 atau suaminya Safri Ali di talian 017-3953654 atau berkunjung ke lot kedainya di alamat G23, Jln Kasturi 1B, Bukit Sentosa.

Kedai Cendawan


Silalah berkunjung ke kedai cendawan kami, di Bukit Sentosa, Rawang. Di sini anda boleh mendapatkan cendawan segar, pada harga yang sangat berpatutan. Jika kebetulannya anda datang pada petang hari kursus berlangsung, cendawan goreng menanti bersama seteko teh o.

Cendawan Tiram Kelabu


Explore masakan anda

Ramai yang berkata, cendawan ini bila dibuat sup, rasanya seperti daging ayam, lembut dan kenyal. Untuk menggorengnya pula, cendawan itu hendaklah digaul dengan tepung dengan kadar seadanya sahaja. Jangan seliputi cendawan dengan tepung kerana bila ianya masak, yang rasa bukan cendawannya tetapi tepungnya. Pastikan minyak menggoreng benar-benar panas sebelum tepung cendawan itu dimasukkan. Seeloknya gunakan deep fryer, kerana hasilnya memang rangup dikunyah. Cendawan goreng memang enak jika digoreng secara rangup seperti chips.

Cendawan juga boleh dimasak lemak cili api, sup air, kari, tomyam. Serunding cendawan juga boleh dicuba. Memasaknya sangat mudah, gantikan daging serunding itu dengan cendawan sahaja, manakala kaedah penyediaannya adalah sama seperti memasak serunding daging atau ayam. Hasilnya, emmmm memang kelainannya menyelerakan.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada kreatif anda. Lagi kreatif, lagi seronok menikmati hidangan cendawan.

No harms trying. Cubalah, selain berkhasiat, ianya enak dan menyegarkan.